Pages

Transisi baru Akademi Fantasia 8

Tirai telah dilabuhkan. Juara telah ditentukan. Harap akan terus membawa rencana baru dalam dunia seni ini. Ada beberapa perkara yang membuatkan mat puisi kagum dengan Akademi Fantasia musim terbaru ini.

Terdapat perubahan dan sesuatu yang baru telah mat puisi saksikan.


~    ~    ~    ~    ~    ~
Pertama - Pengetua.

Sedia maklum pengemudi AF8 kali ini bukan calang-calang orang. Salah seorang trio hebat kelahiran Malaysia, Norman KRU. Jelas beliau bersungguh-sungguh dalam memastikan anak didikannya mampu untuk menjadi ‘seseorang’ kelak. Segala ilmu yang dicurahkan baik dari segi teknik nyanyian, persembahan, produksi, dan komunikasi, telah beliau curahkan dengan baik.

Walaupun bagi pandangan mat puisi tidak sehebat Ramli MS (semasa AF2 sahaja), M Nasir (AF3), dan Datin Tiara Jacquelina (AF7), namun, pelajar-pelajarnya sudah matang dalam membuat persembahan.
Bukti semasa konsert akhir yang berlangsung dengan jayanya. Walaupun terdapat sedikit kekurangan dari segi aturan acara yang ada, namun, persembahan setiap pelajar amat berbeza dan matang dalam mengatur rencana persembahan mereka.


Kedua – Pemberian Lagu Baru untuk Setiap Pelajar

Perubahan ini yang mat puisi kagumi. Pihak produksi dan tenaga pengajar khususnya Principal Norman bijak mencatur dan mengatur langkah pelajar AF8 untuk mengorak langkah di masa hadapan. Setiap pelajar diberikan genre lagu yang bersesuaian dengan vocal dan gaya yang dibawa setiap pelajar. Muzik video juga telah siap untuk tatapan peminat.

Tidak seperti AF sebelumnya, lagu baru hanya diberikan kepada pelajar yang berjaya diperingkat akhir sahaja. Tidak bagi AF8. Pihak Astro juga bijak mengambil peluang bekerjasama dengan produksi KRU. Setiap lagu yang diberikan, mat puisi rasa datang dari arkib KRU. Malahan video klip juga diarahkan oleh pihak KRU. --mungkin-- Kalian sudah sedia maklum bahawa lagu KRU amat sedap didengar dan mudah menangkap minat remaja.

Shahir - Kebahagiaan dalam Perpisahan

Adira - Ku Ada Kamu

Daus - Kenapa

Maulana - RSVP

Iwan - VIP

Ain - Penanggung Sepi

Farina - Hujung Minggu

Nad - Aku Sudah Merdeka

Aliff - Bangun Semula

Anum - Berakhir Sebelum Bermula

Ema - Hati-Hati

Shah - Bernafas Lagi


Ketiga - Busana dan Tatarias

Tahniah kepada Jasmi Rejab, para penaja, dan pihak produksi yang terlibat dalam memilih busana dan tatarias yang sangat-sangat menawan dan cantik. Semuanya lengkap daripada rambut, solekan, baju, dan kasut.

Apa yang buat mat puisi cukup cemburu apabila pelajar lelaki dipakaikan busana yang cukup menyerlah. Terutamanya bab-bab jacket. Mat puisi memang gilakan jacket. Kalau jumpa yang berkenan di hati, pasti terus beli. Malangnya, kebanyakan jacket yang cantik tiada saiz yang bersesuaian --cutting mat puisi bukanlah cantik sangat-- dan masalah kewangan yang membuatkan mat puisi menyimpan hasrat untuk membeli-belah. Berikut adalah busana dan tatarias pelajar yang cukup menyerlah..!

ini adalah busana-busana yang mat puisi minat daripada pelajar-pelajar AF8. penat tu nak cari. fuhh...


**credit kepada astro dan AF atas gambar-gambar yang cantik ini. ;) **
**mat puisi lebih suka busana yang diberikan kepada maulana. sangat cantik dan kemas**

Keempat - Pengkritik

Dengan hadirnya Adlin Aman Ramli dan Haji Aznil Haji Nawawi sebagai pengkritik tetap benar-benar menggamit suasana. Adlin selalu memberikan kritikan dan komen yang panjang lebar. Setiap lontaran yang diberi, bernas dan jujur. **datang dari hati katanya**

Aznil juga turut membantu dalam menaikkan semangat para pelajar dan membantu memecahkan suasana konsert.

Itu sahajalah yang membuatkan AF8 ini cukup menarik.



~    ~    ~    ~    ~    ~

Namun, terdapat beberapa kelemahan yang mat puisi rasa sedikit sebanyak mencacatkan mutu AF8 ini.

Bukan menjadi pahat yang berbunyi selepas rumah siap dibina, tetapi hanyalah berkongsi pendapat dan mat puisi tidak menyalahkan mana-mana pihak. Jika pembetulan perlu diambil, memang patutlah. Jika tidak ambil pun, mat puisi tetap akan menjadi peminat setia Akademi Fantasia.

Pertama - Pengacara

Mat puisi tak berapa nak berkenan dengan pengacara musim ini. Rasanya, hanya Sarimah Ibrahim sahaja yang berupaya  menggamitkan setiap konsert dan menarik minat untuk ditonton dengan teletah dan kerenah spontan beliau.

Tidak bagi Jimmy Shanley. Memang ada lawak yang menjadi, tetapi beliau tidak pandai untuk mengawal situasi. Ada suatu ketika, Adlin Aman Ramli pernah mencuka dengan beliau disebabkan beliau terlalu mendesak Adlin untuk berhenti mengkritik. Mat puisi dengar pun macam mengganggu sahaja. Mungkin kesuntukan masa.

Tetapi ada cara untuk menyekat kritikan panjang lebar para pengkritik. Perlu belajar dengan pengacara nombor satu negara. Mungkin Jimmy masih baru dalam AF ini, diharap dapat memperbaiki diri menjadi pengacara yang disegani. **suka beliau mengacarakan Trek Selebriti sahaja**


Kedua - Durasi Masa

Konsert biasa - satu jam setengah. Bagi mat puisi amat mencukupi kerana tidak perlu berceloteh panjang dan menambahkan babak-babak membosankan dan menjengkelkan seperti musim-musim yang lepas.

Tetapi, apa yang buat mat puisi tak puas hati, ketika konsert akhir, durasi yang diambil hanyalah dua jam. Bagi mat puisi, terlalu singkat. Mungkin terdapat komen dan teguran daripada pelanggan Astro yang mengatakan musim-musim sudah terlalu lama durasinya. Sampaikan lebih dari 4 jam semasa Konsert Akhir Akademi Fantasia 5 (AF5) berlangsung.

Mungkin dua jam itu cukup kiraannya. Namun, setelah diperhatikan semasa Konsert Akhir Akademi Fantasia 8 pada 22 Mei 2010 yang lalu,  dua jam itu tidak cukup. Sampaikan konsert tersebut overrun. Sehinggakan Jimmy Shanley terpaksa memotong ucapan sang juara, Shahir dek kesuntukan masa.

~    ~    ~    ~    ~    ~

Sekian sahaja komen mat puisi. Memang benar kita tidak mampu untuk memuaskan kehendak setiap orang. Namun, mat puisi percaya pasti ada yang setuju dengan mat puisi. 

Bukan mat puisi perasan pandai atau hebat, tetapi mat puisi terlalu sayangkan Akademi Fantasia ini. Setiap konsert bermula dari AF2 hingga AF8, mat puisi amati perkembangannya. Tidak keruan hidup mat puisi andainya Akademi Fantasia ini dihentikan penyiarannya. ;) 

0 comments: